Penumpang penerbangan mula pulih

KUALA LUMPUR 16 Nov. –  Jumlah penerbangan sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berada pada kadar 74.1 peratus atau 381,475 penerbangan, berbanding 514,896 bagi tempoh sama pada 2019, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Katanya, dari segi pengendalian penumpang, lapangan terbang di Malaysia mengendalikan 109,428,322 penumpang bagi 2019 manakala tahun lalu jumlah itu berkurangan sehingga 54.8 juta penumpang atau 50.1 peratus berbanding 2019.

Beliau memberitahu, sehingga September lalu, lapangan terbang di Malaysia mengendalikan seramai 62.8 juta penumpang.

Beliau berkata, kerajaan menyasarkan peningkatan bilangan penumpang tahun ini sebanyak 87.8 juta penumpang iaitu 80.6 peratus berbanding bilangan penumpang yang direkodkan pada 2019.

“Jumlah penumpang dijangka kembali ke tahap prapandemik tahun hadapan,” katanya menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Loke berkata, pemulihan keseluruhan jumlah penumpang ketika ini adalah pada kadar 77.5 peratus antara Januari hingga September 2023, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

Katanya, pemulihan terbaik adalah penumpang domestik pada kadar 84.4 peratus diikuti penumpang ASEAN pada 77.5 peratus dan 63.4 peratus untuk penumpang destinasi antarabangsa lain.

Mengenai Pencapaian Ketepatan Waktu bagi penerbangan domestik, syarikat penerbangan Malaysia merekodkan pencapaian 79 peratus untuk suku ketiga 2023 berbanding 82 peratus pada suku kedua 2023.

“Perincian Pencapaian Ketepatan Waktu bagi suku ketiga 2023 adalah SKS Airways (95 peratus), MASwings (93 peratus), Batik Air Malaysia (82 peratus), FireFly (77 peratus), Malaysia Airlines (74 peratus) dan AirAsia, 74 peratus.

“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dalam proses menentukan taraf prestasi bagi Pencapaian Ketepatan dan Kadar Pembatalan Penerbangan bagi syarikat penerbangan Malaysia. Proses ini dianggarkan akan selesai pada suku pertama 2024,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Chai Yew, Loke berkata, wujud pelbagai faktor yang menyebabkan kelewatan penerbangan dan sebahagian faktor di luar kawalan syarikat.

“Cuaca contohnya, macam mana mahu kawal cuaca? Kalau cuaca tidak baik, bagaimana kapal nak terbang. Bukan syarikat penerbangan sengaja lewatkan penerbangan mereka.

“Saya setuju ada banyak perkara perlu kita tambah baik dan bukan saja syarikat penerbangan tapi lapangan terbang seperti pengurusan trafik udara juga bukan dibawah syaraikat penerbangan.

“Ke arah memperbaiki pencapaian syarikat penerbangan ini, MAVCOM akan mengambil tindakan segera sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia.

“Ini sesuatu yang kita akan pendekatan, bagaimana untuk meletakkan satu sasaran dan jika tak dicapai, maka akan ada satu tindakan diambil,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Loke berkata, peningkatan dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kos operasi syarikat naik mendadak, disebabkan harga minyak dan sewa pesawat meningkat.

“Namun kita mengharapkan lebih banyak penawaran kepada kapasiti pesawat. Kalau lebih banyak penawaran, maka ia dapat mengimbang harga tiket kapal terbang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment