KUALA LUMPUR 16 Nov. – Sebarang kenaikan harga Beras Putih Tempatan (BPT), jika dilaksanakan selepas tidak disemak sejak 2008 akan memberi keadilan kepada semua pihak, termasuk pesawah, pengilang, peniaga dan pengguna.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kementerian sedang mengadakan perbincangan mengenai cadangan supaya kenaikan harga BPT, yang kini ditetapkan RM2.60 sekilogram dapat dipertimbang.
Katanya, perbincangan melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN)
“Jika nak berlaku kenaikan, kita perlu berbincang antara kementerian ini supaya jika berlaku perubahan, kita harap dapat kongsi bersama dan bagaimana nak beri semua pihak puas hati, termasuk di pihak kerajaan dan pembangkang.
“Jika kita setuju nak bela petani, Kementerian Ekonomi perlu bincang juga, apa impaknya kepada ekonomi dan majoriti rakyat, pengilang dan sebagainya.
“Sebab itu perbincangan insentif ini kita buat sekarang, termasuk mengambil kira pandangan daripada Ahli Parlimen, khasnya dari kawasan penanaman padi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai maklum balas kerajaan berhubung desakan untuk menaikkan harga siling BPT dan sama ada ia akan dinaikkan secara mendadak atau berperingkat.
Sebelum ini, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.
Menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) mengenai kemajuan langkah intervensi bagi memastikan BPT mencukupi dan insiden kekurangan bekalan tidak berulang, Mohamad berkata, pihaknya mengambil pelbagai langkah yang perlu, namun sukar memberi jaminan masalah kekurangan bekalan tidak akan berulang.
Katanya, krisis bekalan BPT sudah empat kali berlaku di negara ini iaitu pada 1971, 2008, 2014 dan tahun ini.
“Memang kita harap tidak berlaku krisis pada masa akan datang tapi hal makanan ini bergantung kepada keadaan cuaca, antarabangsa dan sebagainya, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita menjadi apologetik.
“Jika berulang pun, kita harap ia tidak parah. Paling hebat (krisis) pada 2014. Pada waktu itu tidak ada TikTok, jadi ramai rakyat tidak cemas dan tidak tahu.
“Sekarang ini, misalnya jika di TikTok kata bulan depan BPT tiada, menyebabkan orang panik dan membeli secara banyak,” katanya.
