KEMAMAN 16 Nov. – Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dinamakan sebagai calon Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Disember ini.
Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Dr Ahmad Samsuri sebagai calon pada Program Ceramah Perdana dan Pengisytiharan Calon Pas PRK P040 Parlimen Kemaman malam ini.
Dr Ahmad Samsuri yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini dijangka berhadapan dengan calon Barisan Nasional (BN). bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi.
Pertarungan empat penjuru itu menyaksikan Che Alias menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).
Untuk rekod pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Dr Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang untuk dua penggal berturut-turut.
Beliau yang juga Naib Presiden Pas mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Suhaimi Sulaiman dengan majoriti 17,286 undi selepas memperoleh 20,927 undi, manakala Suhaimi mendapat 3,641 undi.
