KUALA LUMPUR 16 Nov. – Bersatu gagal mengosongkan empat kerusi Parlimen di Sabah – Papar, Batu Sapi, Ranau dan Sipitang – yang sebelum ini diwakili anggota parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu yang kemudiannya meninggalkan parti.
Ini berikutan Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan empat Ahli Parlimen di Sabah yang mengumumkan keluar parti itu.
Bersatu memohon supaya Johari mengisytiharkan ada kekosongan kerusi disandang Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang), yang masih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim, Datuk Amarjeet Singh, berkata pihaknya terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk menyoal keputusan Speaker Dewan Rakyat atas kekosongan empat kerusi berkenaan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan (Bersatu) dan tiada perintah terhadap kos,” katanya.
Permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya sebagai pegawai awam parti itu, pada 17 April lalu.
Bersatu menamakan Johari dan empat Ahli Parlimen terbabit sebagai responden pertama hingga kelima.
Parti itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari melalui surat bertarikh 16 Januari lalu, yang menyatakan responden kedua hingga kelima sudah memberi penjelasan dan mengesahkan tiada berlaku kekosongan kerusi Parlimen terbabit berdasarkan tafsiran Perlembagaan GRS dan Bersatu.
Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat Ahli Parlimen itu berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen terbabit.
Pada 29 Ogos lalu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), Ahmad Hanir Hambaly, berkata permohonan Bersatu perlu ditolak kerana tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding dalam mana-mana Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.
Peguam bela Kiandee dan Muhammad Suhaimi, Tan Sri Azhar Azizan Harun, pula dilaporkan berhujah bahawa permohonan semakan kehakiman perlu didengar kerana ia bukan suatu yang remeh serta menyusahkan.
Beliau mendakwa Johari melampaui bidang kuasanya kerana tiada kuasa untuk mentafsir Perlembagaan Bersatu atau membuat penentuan bila keanggotaan empat Ahli Parlimen itu dalam Bersatu terhenti.
Nnn
