Kerjasama dengan DAP, Pas atas matlamat sama

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui menggunakan DAP untuk menjatuhkan Najib Razak dan pada masa yang sama menyedari DAP juga menggunakannya atas matlamat yang sama.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tanpa ‘bantuan’ serta majoriti daripada DAP, ia bermakna Najib akan terus menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Kita tentukan matlamat, kita nak capai sesuatu matlamat. Jadi, apabila kita berjuang “the enemy of your enemy is your friend” (musuh kepada musuh anda adalah rakan anda)

Jika saya tidak menggunakan DAP, kita tidak akan mencapai majoriti dan Najib akan terus menjadi Perdana Menteri. Antara DAP dan Najib, mana satu yang perlu kita jatuhkan?

“Sebab itu saya mahu gunakan DAP dan saya sedar DAP juga mahu menggunakan saya kerana DAP juga mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dan menjatuhkan Najib,” katanya

Beliau menjelaskan demikian dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, yang disiarkan hari ini.

Dr Mahathir menjawab pertanyaan Shahril mengenai pendiriannya yang dilihat tidak konsisten dalam berurusan dengan DAP dan Pas.

Ketika bersama UMNO, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sering mengkritik dua parti berkenaan, tetapi pada ketika lain, dilihat boleh duduk bersama pimpinan parti terbabit.

“Sekarang ini kita ada masalah dan saya dapati bahawa tidak ada pilihan lain melainkan bekerjasama dengan Pas, saya bekerjasama, matlamat mereka juga sama.

“Memang kita nak capai sesuatu kita kena lakukan strategi ini, kalau kita terikat ikatan lama kita tak akan berjaya,” katanya sambil menolak dakwaan beliau selalu tukar matlamat.

“Tak betul, matlamat saya satu saja saya nak berjuang untuk kebaikan orang Melayu. Apa juga yang perlu dilakukan saya akan buat,” katanya

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyatakan kesediaannya untuk memberikan sokongan kepada mana-mana pemimpin yang boleh melakukan sesuatu yang betul bagi ‘memulihkan’ Malaysia.

Beliau juga berasa bertanggungjawab untuk bersuara jika berpandangan seseorang Perdana Menteri itu melakukan tindakan yang tidak baik untuk negara dan orang Melayu.

Jelasnya, beliau akan memberikan masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk melihat apa yang boleh dilakukan oleh individu yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak merujuk atau menamakan seseorang secara khusus kepada mana-mana Perdana Menteri atau bekas Perdana Menteri.

“Kalau saya berdiam diri, bermakna saya tidak bertanggungjawab. Perjuangan saya untuk nak tentukan bangsa saya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain, itu perjuangan saya.

“Apabila saya lihat orang ini lebih utamakan duit, lebih utamakan jawatan itu saya tak boleh sokong. Kalau nak pegang jawatan Perdana Menteri, mesti sumbang kepada kejayaan negara dan pemulihan kedudukan orang Melayu, itu perjuangan saya.

“Kalau orang buat benda yang merosakkan lagi, saya masih boleh bercakap, takkan saya nak duduk diam. Okeylah, apalah, bukan masa saya dah, kalau saya boleh bercakap, saya bercakaplah. Kalau saya dah sakit, dah tidur, tak boleh nak ni (bercakap), saya tak bercakaplah,” katanya.

Dtanya mengenai masa depan Malaysia, bekas Presiden UMNO itu berpandangan sekiranya keadaan sekarang berterusan, beliau menjangkakan dalam masa 10 tahun lagi orang Melayu akan dipinggirkan dan Malaysia bukan lagi menjadi tanah Melayu.

“Macam Singapura, macam Pulau Pinang. Kita duduk di negara kita, tak boleh masuk kawasan itu, kawasan ini kerana kita sudah jadi lemah dan kita berpecah. Tiap-tiap parti kecil-kecil belaka, orang lain bersatu, tetapi kita berpecah dan masa depan Malaysia dalam 10 tahun, bukan lagi tanah Melayu,” katanya.

Beliau berkata, kadangkala berasa kecewa kerana setiap jangkaan yang dilakukannya seolah-olah menjadi realiti.

“Bila saya kata dalam masa 20 tahun UMNO akan rosak, ia berlaku. Dalam masa sekian, sekian, ia terjadi. Sekarang ini, saya nampak dalam 10 tahun, negara kita ini berubah dan bukan lagi Tanah Melayu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment