Anwar pernah gagal tangani krisis kewangan

KUALA LUMPUR 13 Nov. –  Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Anwar Ibrahim tidak mampu menangani masalah termasuk krisis kewangan yang dihadapi negara pada tahun 90-an ketika diberi peluang menjadi pemangku Perdana Menteri sewaktu beliau bercuti.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Anwar ketika itu seolah-olah tidak faham dengan masalah yang sedang dihadapi negara, sekali gus tidak dapat mengenal pasti cara menyelesaikan masalah berkenaan.

“Anwar ketika itu suka menurut apa yang dinasihatkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Jadi saya berpendapat, saya tidak boleh meneruskan cuti. Saya balik, “ katanya pada program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shaharil Hamdan, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa baharu di luar Kabinet bagi mengumpul pakar-pakar perbankan, pakar kewangan dan peguam bagi memberi pendapat masing-masing.

Anwar turut berada dalam jawatankuasa itu dan dibenarkan memberi pendapat, tetapi pendapatnya lebih kepada mahu menurut nasihat IMF dan Bank Dunia.

Dr Mahathir berkata, ketika itu beliau memberitahu Anwar, bahawa jika dilakukan begitu, satu hari negara tidak akan cukup duit untuk membayar gaji kakitangan awam.

Menjawab tindakan Anwar menerima nasihat IMF yang mahu menaikkan faedah pinjaman bank dan mengurangkan perbelanjaan, Dr Mahathir menegaskan Anwar ketika itu sememangnya suka mengikut nasihat IMF dan Bank Dunia berhubung perkara itu.

Beliau menjelaskan tindakan berkenaan menimbulkan masalah kepada bank apabila berlaku kejatuhan nilai mata wang ringgit.

“Jadi Anwar ikut kehendak IMF dan mata wang masih cukup. Bila kita tegur saja, dia (IMF) ini sengaja menurunkan nilai mata wang kita.

“Bila nilai mata wang kita turun, kita jadi miskin. Benda yang dahulu kita boleh beli dengan RM100 sekarang kita kena beli dengan RM120 ataupun lebih daripada itu, kita jadi lebih miskin,” katanya.

Beliau menjelaskan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, akhirnya kerajaan ketika itu mengambil langkah menghentikan penjualan mata wang (menambat ringgit) dan menetapkan tukaran wang asing.

“Ramai yang marah (dengan tindakan itu), dan mendakwa tiada negara di dunia yang berbuat demikian. Saya kaji mata wang negara lain dan dapati China dan Chile juga tidak boleh diniagakan, dengan itu ekonomi mereka tumbuhan dengan licin (lancar),” katanya.

Related posts

Leave a Comment