Langkah Sheraton halang Anwar jadi PM lebih awal

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Dr Mahathir Mohamad menjelaskan niatnya untuk memberi jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak kesampaian selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh.

Katanya, beliau sudah berjanji akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh pentadbiran PH sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya sudah janji dan saya akan tunaikan janji. Apabila saya bersama dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka pilih saya untuk jadi calon Perdana Menteri.

Tapi mereka juga tentukan saya jadi Perdana Menteri untuk beri peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri dan saya terima itu,” katanya dalam rakaman podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shaharil Hamdan, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, niatnya itu tidak dapat dilunaskan kerana berlakunya Langkah Sheraton yang berjaya menumbangkan kerajaan PH pada Februari 2020.

“Disebabkan Langkah Sheraton, parti kerajaan, iaitu PH sudah hilang kedudukan. Kalau saya bagi jawatan pada Anwar pun, dia tidak boleh jadi sebab parti sudah kalah,” katanya menegaskan beliau tidak dapat melakukan apa-apa kerana partinya pada waktu itu sudah hilang majoriti.

Dr Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas parti diterajuinya, Bersatu bersama PH yang diterajui Anwar berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Saya hendak beri (jawatan Perdana Menteri) kepada Anwar, tetapi sebelum saya dapat beri, parti saya tolak saya. Apabila parti tidak yakin dengan saya, tindakan saya, saya kena letak jawatan.

“Pada waktu itu juga, saya dapati PH akan kalah kerana Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali bersama dengan Bersatu akan menjatuhkan PH. Kalau saya angkat Anwar jadi Perdana Menteri, dia tidak akan jadi,” katanya.

Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri pada Februari 2020 dan Bersatu yang diketuai Presidennya,  Muhyiddin Yassin meninggalkan gabungan PH bersama 11 Ahli Parlimen PKR.

Selepas meletak jawatan, Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara dan menyarankan idea kerajaan perpaduan dengan semua parti yang mempunyai wakil di Parlimen mengambil bahagian, namun ditolak oleh pelbagai pihak.

Selepas menemubual semua Ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan bahawa Muhyiddin mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), terdiri Bersatu, Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sabah.

Related posts

Leave a Comment