Zahid Hamidi kembali ke pejabat TPM

PUTRAJAYA 5 Dis. – Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra di sini, jawatan yang pernah disandangnya pada Julai 2015 sehingga pilihan raya umum 2018.

Ahmad Zahid yang tiba di pekarangan Kompleks Perdana Putra pada pukul 8 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.

Beliau yang mengenakan sut serba hitam kemudiannya mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 4 sebelum mengaminkan doa yang dipimpin oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri Kamruzaman Abdul Aziz.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudiannya memasuki pejabatnya serta menandatangani Buku Selamat Datang.

Ahmad Zahid, 69, diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu.

Pada Sabtu lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) antara 27 jemaah Kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahmad Zahid pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan  Muhyiddin Yassin dalam satu rombakan Kabinet Perdana Menteri Najib Tun Abdul Razak pada 2015.

Ketika itu beliau turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Berkelulusan PhD-Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ahmad Zahid, 62, anak kelahiran Bagan Datoh, Perak, mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) semasa pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (2009-2013) sebelum bertukar ke portfolio Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013.

Related posts

Leave a Comment