Lagi wakil rakyat Bersatu sokong Anwar

KOTA BHARU 8 Nov. – Seorang lagi anggota Parlimen Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim mengisytiharkan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim berkuat kuasa mulai semalam.

Ahli Parlimen Gua Musang itu menjadikan wakil rakyat ketiga dari Bersatu menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Anwar selepas Suhaili Abdul Rahman dan Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul.

Mohd Azizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri yang bertanding menggunakan logo Pas berkata, keputusan itu bertujuan memastikan kebajikan penduduk di Gua Musang terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat.

Ini termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk kawasan Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

“Selepas meneliti dan mendengar Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri dengan matlamat utama untuk memangkinkan pemulihan ekonomi di samping meringankan beban kewangan untuk rakyat Malaysia, saya selaku ahli Parlimen Gua Musang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bermula hari ini (semalam).

Keputusan saya ini adalah bertujuan memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang saya mohon untuk di laksanakan di Parlimen saya dalam tempoh penggal perkhidmatan saya.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam kenyataan media di Facebook.

Seperti dua rakan lain sebelum ini, Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang itu berkata,  sejujurnya beliau tidak berniat untuk keluar atau mengkhianati parti Bersatu, tetapi melakukannya demi memastikan Parlimen Gua Musang seiring dengan pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Adalah wajar untuk saya bersama dalam saf kepemimpinan Putrajaya yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Buat masyarakat Gua Musang yang sangat saya kasihi, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati bumi bertuah Gua Musang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana kita harapkan,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, Mohd Azizi menang tipis di kerusi itu dengan majoriti 163 undi menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah daripada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Mohd. Azizi yang bertanding atas tiket Pas berjaya menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama 10 penggal dari Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Mohd. Azizi menang dengan majoriti tipis sebanyak 163 undi selepas memperoleh undian sebanyak 21, 826 manakala Ku Li yang juga Ketua UMNO Gua Musang mendapat undi 21, 663 manakala  Asharun Uji (Pakatan Harapan)  4,517 undi dan Datuk Dr Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air)  371 undi.

(Foto: Mohd Azizi (duduk kanan) pada satu Majlis Hari Raya di Gua Musang pada 7 Mei 2023)

 

Related posts

Leave a Comment