Skim gaji baharu diumum sebelum akhir 2024

PUTRAJAYA 8 Nov. –  Beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 bagi membolehkan skim gaji baharu penjawat awam dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak mencecah masuk ke tahun ke-12. Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan (Kajian SSPA), kita akan lakukan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen memandangkan kajian itu mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu dan bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari tahun hadapan.

Related posts

Leave a Comment