Hasil bida jam Rolex diserah kepada ICCS

AMMAN 8 Nov. – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menyampaikan RM100,000 hasil bidaan jam Rolexnya baru-baru ini kepada Setiausaha Agung Islamic Charity Center Society (ICCS), Dr. Jaber Hassan.

Katanya, wang tersebut akan disalurkan terus ke Gaza, manakala baki RM35,000 juga telah selesai disampaikan melalui transaksi dalam talian kepada lapan buah NGO terpilih seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Baru-baru ini, jam tersebut yang dihadiahkan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz, berjaya dibida dengan harga tertinggi RM135,000 selepas diletak pada harga tapak RM40,000.

Dr Zulkifli dalam hantaran di Facebooknya berkata, ICSS adalah sebuah pertubuhan NGO yang besar di Amman, dan sudah sekian lama melaksanakan aktiviti kebajikan khusus kepada rakyat Palestin.

ICSS juga memiliki sebuah hospital yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk merawat pelarian Palestin di Amman, Jordan.

“Malaysia sentiasa dekat di hati beliau (Dr. Jaber Hassan) kerana beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya satu ketika dahulu.

Dr. Jaber turut memaklumkan saya beberapa maklumat terbaharu terus daripada Gaza. Beliau turut meminta rakyat Malaysia teruskan berdoa dan menghulurkan bantuan melalui pelbagai saluran yang tersedia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment