Malaysia bawa pulang 518 mangsa penipuan sindiket pekerjaan

KUALA LUMPUR 8 Nov. –  Sebanyak 518 daripada 704 mangsa penipuan sindiket pekerjaan di luar negara berjaya dibawa pulang, setakat Jumaat lalu, kata Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin.

Katanya, 186 lagi pekerja sedang dikesan dan pada masa sama berusaha mengenal pasti 26 warganegara Malaysia terbabit sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Menurut beliau Kementerian Luar sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada pihak berkuasa negara itu untuk membolehkan Malaysia membuat lawatan dan perbincangan di sana.

Belia berkata pihaknya memohon kerjasama semua pihak untuk memberi maklumat dengan pihak berwajib, susulan lebih 2,000 dalam kalangan mereka dilaporkan berada di luar negara akibat ditipu sindiket hingga kini.

“Data rasmi Kementerian Luar bagi mangsa yang kita jejaki dan kesan adalah 704, yang berjaya selamatkan 518, manakala 186 lagi sedang dikesan. Banyak laporan media yang melaporkan lebih daripada itu, ada yang kata sampai 2,000 orang.

Barangkali ini yang belum berdaftar dan dijejaki oleh kita. Jadi kita ingin memohon kerjasama semua pihak, jika ada maklumat, berikan kepada kami untuk mengesan dan membawa pulang mangsa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta Menteri Luar menyatakan kaedah akan diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mengelak penipuan pekerjaan di Kemboja dan Myanmar.

Mohamad berkata, KLN melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Myanmar, dan dengan kerjasama Thailand, Vietnam, Filipina serta China, sedang menyelaras dan menggunakan segala alternatif bagi membawa pulang 26 mangsa sindiket itu.

Beliau berkata, KLN menerajui satu jawatankuasa khas yang ditubuh bagi menyelesaikan isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan membabitkan semua agensi berkaitan.

“Kementerian juga menggunakan jalinan usaha sama antara Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengesan, menyelamat dan memberi bantuan konsular kepada mangsa, seperti memudah cara proses dokumentasi serta pengeluaran Sijil Perakuan Cemas.

“Ia bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat. Selain itu, KLN turut terbabit dalam lawatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke Kemboja dan Thailand pada awal tahun ini bagi mengukuhkan jalinan kerjasama,” katanya.

Bagi mewujudkan kesedaran mengenai bahaya sindiket penipuan pekerjaan pula, Mohamad berkata, kementerian memanfaatkan pelbagai platform tersedia seperti media sosial, media massa, media arus perdana dan hebahan secara fizikal untuk tujuan itu.

Katanya, antara usaha dilakukan ialah hebahan kesedaran menggunakan infografik dan video serta dokumentari pengalaman sebenar mangsa sindiket penipuan yang dimuat naik dalam laman rasmi media sosial seperti YouTube dan Facebook KLN serta PDRM.

Selain penyampaian taklimat kesedaran kepada pelajar universiti serta pembukaan ruang reruai seperti ketika Hari Wisma Putra pada Sabtu lalu, beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan lagi hebahan kesedaran itu kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia melalui pelbagai Program Seranta yang dirancang.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pekerjaan luar negara yang membuat tawaran hebat kerana diberikan tiket penerbangan dan penginapan percuma dan elaun tinggi.

“Saya mohon supaya periksa terlebih dahulu. Kita mempunyai wakil PDRM dalam jawatankuasa khas itu, maka orang ramai boleh pergi ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat sama ada ia betul atau tidak.

“Kita tidak mahu berlaku ribuan rakyat kita tersekat di luar negara, malah ada yang diseksa, penderaan fizikal dan memeras wang ringgit… ini adalah pengajaran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment