KULIM 3 Nov. – Kerajaan Perpaduan tidak terdesak untuk mendapatkan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan menyifatkan tohmahan semata-mata dakwaan pembangkang bahawa wakil rakyat PN diugut menyokong kerajaan.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.berkata Kerajaan Perpaduan tidak berada dalam kedudukan goyah dan tahap sokongan yang ada sekarang pada kedudukan sangat meyakinkan.
“Semalam berlaku undian Belanjawan 2024 di peringkat dasar, lulus dengan begitu sahaja (mudah) dan berikutnya (akan dibuat) di peringkat jawatankuasa.
Jadi tiada keperluan mendesak, tiada apa-apa gugatan terhadap kedudukan kerajaan yang ada sekarang,” katanya selepas Majlis Penyerahan Geran Prihatin Komuniti Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (JPPM) peringkat Zon Utara, di sini, hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini mendakwa terdapat percubaan daripada blok kerajaan untuk menghasut Ahli Parlimen PN bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Beliau mendakwa, beberapa wakil rakyat PN didatangi seorang ahli perniagaan dengan cubaan untuk mengikat mereka ke dalam perbincangan mengenai pertukaran sokongan di Dewan Rakyat.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan amat mengalu-alukan apabila terdapat wakil rakyat PN menyatakan sokongan terhadap mereka, namun menafikan perkara itu berlaku disebabkan daripada ugutan.
Katanya, Perdana Menteri juga menyebut di Parlimen sebelum ini bahawa ia tuduhan serius dengan pembuktiannya perlu dibuat bagi mengesahkan ugutan itu.
“Pihak yang mendakwa kena tunjukkan bukti, hari ini bila media tanya (Hamzah) jawapannya adalah sedang mengumpul. Kalau itu maknanya belum sahih, belum pasti jadi. Kalau sedang kumpul (bukti) jangan buat tohmahan dulu, tunggu sehingga ada bukti wujudnya ugutan.
“Di pihak Kementerian Dalam Negeri, polis sendiri pun tiada aduan berkenaan dakwaan itu. Jadi bola sebenarnya di gelanggang Datuk Seri Hamzah dan PN untuk mendatangkan bukti,” katanya.
Sementara itu, di Kuala Lumpur jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata tiada keperluan untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan sebarang projek kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk mendapatkan sokongan seperti didakwa dua ahli PN.
Katanya, sokongan kepada Perdana Menteri, dan kerajaan pada waktu ini adalah cukup baik dan mencecah 149 Ahli Parlimen.
“Malah, Perdana Menteri sudah jelaskan di Parlimen bahawa beliau langsung tidak bertemu dengan dua Ahli Parlimen PN yang umum sokongan kepada beliau, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama dan RTM hari ini.
Media hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, kedua-duanya daripada PN mendakwa ditawarkan projek di kawasan Parlimen mereka sebagai imbuhan kepada sokongan terhadap kerajaan.
