KUALA LUMPUR 3 Nov. – Perikatan Nasional (PN) sedang mengumpul bukti berhubung dakwaan ugutan diterima Ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan, kata Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin.
Beliau berkata langkah itu perlu sebelum tindakan selanjutnya dilakukan termasuk membuat laporan polis.
“Kita sedang kumpul maklumat kerana kita ambil gambar mereka yang berjumpa dengan kita, kita nak tengok sama ada orang ini datang daripada mana.
“(Buat) laporan polis, tapi kita juga tahu ini jawapan yang akan diberikan tetapi yang penting berhenti buat semua benda ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di sini, hari ini.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang turut mengesahkan dakwaan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan bahawa beberapa Ahli Parlimen PN ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Tawaran itu diberikan kepada mereka dengan syarat menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Kami dah bincang perkara ini bersama Ahli Parlimen kita. Ada beberapa Ahli Parlimen kita menerima panggilan daripada beberapa pihak. Ada juga yang hantar melalui WhatsApp. Ada yang panggilan. Macam-macam cara yang mereka lakukan.
“Kalau kerajaan ini dah berasakan mereka mempunyai lebih dua pertiga sokongan, takut apa ini?
Tak perlu nak kacau benda bukan-bukan ini. Saya nak bagi contoh, ada seorang tempoh hari, telefon Ahli Parlimen kita… Ramai…dalam kalangan kami ini pun ada juga,” dakwanya.
Pada sidang media sama, dua Ahli Parlimen PN, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut mendakwa menerima tawaran pembangunan projek di kawasan masing-masing.
Dr Ku Abd Rahman berkata beliau dihubungi menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang menawarkan projek pembinaan hotel di kawasan beliau.
“Saya dapat mesej daripada seseorang, rupanya dia sudah teliti latar belakang kita dan kaji kawasan saya. Dia cadang nak buka hotel butik di kawasan saya di belakang Darulaman Golf Club, saya terus block dia,” katanya.
Che Mohamad Zulkifly Jusoh pula mendedahkan beliau turut dihubungi seseorang bergelar Datuk menerusi emel, bercadang membina hotel 40 bilik di Parlimen Besut.
“Saya baru terima satu emel, cadangan pembangunan hotel 40 bilik dilengkapi kolam renang dan pasar raya runcit di Parlimen Besut,” ujarnya.
Menurut Hamzah, itu adalah modus operandi biasa dilakukan untuk mendapatkan sokongan dengan cadangan projek pembangunan terlebih dahulu dan selepas diadakan pertemuan, barulah dibuka cerita berhubung sokongan kepada kerajaan.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengugut Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid supaya menyokong kerajaan atau menghadapi pertuduhan rasuah.
Setakat ini, selain Iskandar Dzulkarnain, turut mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan adalah Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, , menolak dakwaan itu dengan mendakwa tidak pernah menemui Ahli Parlimen PN berkenaan dan meminta pembangkang menunjukkan bukti jika benar dakwaan itu.
