Dr Zakir sumbang hasil saman fitnah kepada Palestin

KUALA LUMPUR 3 Nov. –  Pendakwah, Dr Zakir Naik akan menyumbangkan kepada Palestin kesemua wang diperolehnya hasil kemenangan dalam kes saman fitnah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy.

Dr Zakir mengumumkan hasrat itu melalui satu hantaran di Facebook dan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi kerana memerintahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta atas dakwaan fitnah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Mahkamah Tinggi Malaysia kerana mengarahkan Ramasamy membayar RM1.52 juta sebagai ganti rugi fitnah.

“Saya ingin menderma jumlah penuh, iaitu RM1.52 juta kepada Palestin. Saya berdoa agar Allah SWT menerima usaha kecil ini,” katanya

Mahkamah Tinggi pada Khamis memerintahkan Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP membayar RM1.52 juta kepada Dr Zakir dalam masa 30 hari.

Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi teladan RM250,000, ganti rugi teruk RM100,000, pampasan RM100,000 dengan kos sebanyak RM70,000.

Dr Zakir dalam hantaran sama berkata, rakyat Palestin ketika ini sedang melaksanakan tuntutan fardu kifayah untuk melindungi tempat suci ketiga umat Islam, Masjid Al-Aqsa.

“Saya berdoa agar Allah SWT mengurniakan ketabahan dan kemenangan kepada perjuangan Palestin.

“Semoga Allah SWT meringankan penderitaan saudara kita di Palestin, menguatkan mereka dalam melawan pihak yang menindas dan memasukkan syuhada mereka ke darjat tertinggi di syurga-Nya, amin,” katanya.

Related posts

Leave a Comment