KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan proses perolehan dijalankan dengan lebih cekap dan mengikut prosedur walaupun dilaksanakan ketika darurat atau kecemasan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Dalam reaksi balas terhadap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) baru-baru ini, mengenai pengurusan wabak Covid-19, beliau berkata langkah itu perlu beri perhatian serius bagi mengelak timbul isu tidak diingini.
“KKM mengambil maklum mengenai laporan PAC dan ini bukan kali pertama, kita menerima baik apa yang dinyatakan oleh PAC.
Kita bekerjasama sepenuhnya dalam memberi jawapan serta apa-apa maklumat diminta PAC. Segala syor diberi oleh PAC juga diambil maklum dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk penambahbaikan pada masa depan, khususnya terhadap proses perolehan.
“KKM akan mengambil pendekatan lebih tegas dan cekap dalam memastikan perolehan walaupun pada waktu darurat atau kecemasan yang perlu mengikut prosedur betul,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau memberi jaminan akan memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) termasuk menerima bentuk syor bagi menambah baik urusan itu.
Laporan PAC antara lain mendedahkan sejumlah 8.5 juta dos vaksin COVID-19 bernilai RM500 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu, dengan puncanya disebabkan sambutan yang rendah.
Isu lain ialah bekalan vaksin yang ditempah tidak diterima mengikut jadual susulan permintaan global yang sangat tinggi.
Selain vaksin, peralatan ventilator tidak dapat digunakan dan lebihan peralatan perlindungan diri (PPE) yang dibentang di Dewan Rakyat, mendapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Selain itu, tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekalan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) dan perbincangan, penilaian serta keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan, iaitu melalui aplikasi WhatsApp.
PLSB diarah membuat keputusan pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator walaupun syarikat berkenaan tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti itu.
