Bersatu Negeri ambil alih pimpinan Kuala Kangsar, Labuan

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memutuskan Badan Pimpinan Negeri mengambil alih pengurusan Bahagian Kuala Kangsar dan Labuan, sementara menunggu keputusan Lembaga Disiplin terhadap kedua-dua Ketua Bahagian tersebut yang juga merupakan Ahli Parlimen.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin berkata, Naib Presiden,  Dr. Radzi Jidin juga dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan Dr. Suhaili Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, Bersatu amat komited dalam usahanya memperkasakan Perikatan Nasional (PN) yang telah mendapat mandat serta sokongan besar rakyat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya negeri lalu.

“Bersatu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku disiplin dalam kalangan ahli, khususnya membabitkan Ahli Parlimen mahu pun Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Seluruh Ahli Parlimen Bersatu kekal istiqamah bersama kepemimpinan Presiden, YB Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin dan sebarang cubaan pihak luar untuk memecah-belahkan kesatuan parti melalui tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan tidak akan berjaya,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Anwar dan diikuti Dr. Suhaili yang juga Ahli Parlimen Labuan.

Related posts

Leave a Comment