Kakitangan MYAirlines diminta fail tuntutan

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kakitangan di bawah syarikat MyAirlines, yang terjejas akibat penggantungan operasi penerbangan sejak 12 Oktober lalu, diminta memfailkan tuntutan baki gaji di pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam kadar segera.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, prosedur itu adalah perlu bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut kenyataan KSM, pihaknya yang prihatin dengan situasi yang dihadapi kakitangan MyAirlines telah mengadakan beberapa sesi pertemuan antara 16 Oktober sehingga kelmarin, membabitkan 123 pekerja yang sudah memfailkan tuntutan baki gaji mereka di JTK terhadap syarikat penerbangan berkenaan.

KSM bersama JTK akan sentiasa memantau dan memastikan kebajikan pekerja syarikat penerbangan ini sentiasa terjaga dan terbela.

Pada 12 Oktober lalu, syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya serta merta dan ia berlanjutan sehingga satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan pihaknya sudah menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline berkuat kuasa serta-merta.

Penggantungan itu akan menjaga kepentingan penumpang dan pekerja yang terjejas akibat penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik Covid-19.

Mavcom berkata sebelum ini ia sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober serta mengarahkan syarikat penerbangan itu untuk mengemukakan penjelasan bertulis dalam masa 14 hari.

Bagaimanapun, selepas menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Oktober serta mengkaji penjelasan bertulis itu, suruhanjaya memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan adalah tidak memuaskan.

Related posts

Leave a Comment