KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan dijangka menanggung perbelanjaan subsidi diesel secara purata melebihi RM1 bilion sebulan atau bersamaan RM14 bilion bagi tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata perbelanjaan itu diunjur berdasarkan senario semasa.
Beliau juga memberitahu, jumlah keseluruhan subsidi yang telah ditanggung oleh kerajaan ke atas produk diesel bagi 2018 sehingga 2022 adalah melebihi RM35 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM3.9 bilion dibelanjakan untuk super subsidi diesel sektor perikanan dan hampir RM1 bilion bagi pengangkutan awam.
Manakala bagi sektor kenderaan barangan, tidak diperuntukkan harga super subsidi memandangkan harga belian diesel adalah sama dengan harga runcit diesel di stesen minyak.
Anwar berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah subsidi diesel yang dibelanjakan setiap tahun bermula 2018 sehingga kini.
Perdana Menteri berkata, tujuan pemberian subsidi itu adalah bagi mengelakkan pengguna terkesan dengan kenaikan harga pasaran sebenar produk petroleum di peringkat global.
Ketika ini, beliau berkata harga jualan runcit diesel ditetapkan pada kadar RM2.15 seliter ketimbang harga pasaran iaitu RM3.75 seliter.
