Ayam : 68 premis jual melebihi harga siling

PUTRAJAYA 2 Nov. –  Sebanyak 68 premis perniagaan di seluruh negara dikesan menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram (kg), kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, harga ayam tertinggi dikesan dijual di Pasar Basah Manir, Terengganu iaitu RM11 kg manakala, harga paling rendah adalah Mari-Mari Supermarket di Mersing, Johor pada kadar RM6.40kg.

Katanya , setakat pukul 1 tengah hari, sebanyak 1,484 premis di seluruh negara diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 6.4 peratus ayam dijual pada harga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Daripada pemantauan ini, kita dapati ada jurang harga yang murah dan mahal dan anggota penguat kuasa akan membuat semakan dengan peniaga untuk mendapatkan maklumat dan masalah sebenar ia dijual melebihi RM9.40kg,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pemantauan harga ayam di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Mohd Sayuthi Bakar dan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Azman Adam.

Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) berkata, kementerian itu akan meneruskan pemantauan dan berdasarkan dapatan laporan yang diperoleh akan mengesan kawasan-kawasan yang menjual melebihi harga RM9.40kg.

“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik premis mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Persaingan 2010 sekiranya harga ayam yang dijual tidak munasabah,” katanya.

Harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40kg, namun Isnin lalu kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.

Ia sekali gus menjadikan harga jualan sumber protein itu diapungkan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, KPDN menggerakkan 2268 anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memantau situasi harga ayam yang diapungkan mengikut harga pasaran semasa dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah.

KPDN komited dalam menjalankan pemantauan harga barang yang dilaksanakan oleh lebih daripada 900 Pegawai Pemantau Harga KPDN setiap hari melibatkan hampir 1,500 premis meliputi pasar basah , Hypermarket dan Supermarket, Pasar Mini dan Kedai Runcit di seluruh Malaysia.

KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang dengan mempamerkan tanda harga dengan jelas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

Related posts

Leave a Comment