PMX lancar buku Anwar Triumphs

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Selepas kisahnya difilemkan melalui Anwar: The Untold Story, Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan buku ‘Anwar Triumphs’ yang menukilkan kisah suka dan dukanya sejak era mahasiswa sehingga kini.

Buku setebal 195 muka mengandungi 12 bab itu ditulis oleh peguam jenayah terkemuka Australia, Mark Trowell.

Majlis peluncuran berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini yang turut dihadiri Trowell dan isteri Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang turut memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.

Buku itu turut menceritakan mengenai pengkhianatan politik yang dialami Perdana Menteri ke-10 itu sepanjang menggerakkan reformasi dan pemimpin pembangkang.

Sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang menyaksikan Parlimen tergantung sehingga kepada pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 turut didedahkan.

Trowell menyatakan, naskhah ditulisnya itu bukan hanya berkisar mengenai perjalanan Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10, tetapi untuk menceritakan keseluruhan gerakan reformasi sejak ia mula dilancar pada 1998.

“Hal undang-undang menarik minat saya, kerana saya seorang peguam tetapi perjuangan Anwar benar-benar menawarkan pandangan yang jarang mengenai kehidupan politik Malaysia dan ketegangan masyarakat yang disebabkan oleh percampuran kaum dalam komuniti.

“Pencapaian gerakan reformasi yang telah berjuang selama bertahun-tahun untuk mengatasi kerajaan autoritarian berkuasa lebih dari 50 tahun. Kisah ini perlu diceritakan dan dikemaskini,” katanya.

Sementara itu dalam hantaran di Facebooknya, Anwar berkata, buku ‘Anwar Triumphs’ menukilkan kisah suka dan dukanya sejak era mahasiswa sehingga kini.

“Buku itu turut memetakan babak pengkhianatan politik dalam sejarah negara dan era reformasi, serta kejatuhan dramatik gabungan Pakatan Harapan (PH), selain gejolak politik yang menyusulinya dek kerana ketamakan dan kerakusan pihak tertentu.

Moga fakta dan babak di dalam buku ini ditelaah dan diwacanakan dengan baik dan sihat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment