Himpunan Malaysia Bersama Palestin.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Laungan ‘Hidup Gaza’, ‘Free, Free Palestine’ dan takbir bergema di Axiata Arena, di sini malam tadi sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin.

Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Israel.

Seawal pukul 6.30 petang, orang ramai mula memasuki Axiata Arena, kebanyakan memakai baju putih, lengkap dengan mafla dan mengibar bendera Palestin, berkumpul demi satu misi, mendesak Israel menghentikan segera serangan ke atas Palestin.

Himpunan Malaysia Bersama Palestin dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlangsung sehingga jam 11 malam ini..

Selain orang awam, ia turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara, pemimpin politik dan jemputan khas, dengan dianggarkan seramai 20 wakil NGO akan menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut berucap pada Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin itu.

Dalam ucapannya, Anwar memberi kata dua kepada negara yang cuba ‘mengajar’ Malaysia mengenai erti sebenar hak asasi, kebebasan dan demokrasi, dengan menegaskan beliau akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang dianiaya rejim zionis Israel.

Beliau mempersoalkan pendirian dan ‘perjuangan’ berkait soal hak asasi, kebebasan dan demokrasi yang seringkali dimainkan negara rantau berkenaan, namun dalam isu tertumpu Palestin mereka bagai membutakan mata, membisukan mulut dan memekakkan telinga.

Anwar tidak menolak keadaan Gaza akan bertukar lebih buruk apabila tentera Israel akan terus ‘menggila’ dengan melakukan pencerobohan secara semberono terhadap tanah milik Palestin itu dengan sokongan negara blok terbabit.

Sehingga kini, dianggarkan 4,651 penduduk di Semenanjung Gaza terkorban, manakala lebih 13,000 cedera susulan serangan Israel.

Related posts

Leave a Comment