Wan Saiful diarah hadir di mahkamah esok

KUALA LUMPUR 24 Okt. –  Ahli Parlimen Tasek Gelugor,  Wan Saiful Wan Jan, diarah hadir di Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada pukul 8.30 pagi esok untuk menghadapi pertuduhan.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu itu bagaimanapun tidak jelas mengenai pertuduhan yang akan dikenakan ke atasnya tetapi mendakwa difahamkan ia berkaitan pengubahan wang haram.

“Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan.

Saya berterima kasih kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasat dengan berhemah,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Beliau sebelum ini berdepan dua tuduhan termasuk rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa tetapi mengaku tidak bersalah.

Pada 21 Julai lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan Wan Saiful untuk mengetepikan dua pertuduhan berkenaan selepas mendengar hujahan tambahan dikemukakan pihak pembelaan serta pendakwaan.

Sehubungan itu, Hakim Rozina Ayob, memerintahkan kes itu diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan pada 25 hingga 27 Mac, 29 dan 30 April dan 20 hingga 22 Mei tahun depan dengan 27 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan sejurus dikemukakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Berdasarkan pertuduhan, Wan Saiful didakwa meminta wang daripada Lian Tan Chuan, sebagai dorongan membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, April tahun lalu.

Beliau juga juga didakwa menerima suapan RM6.9 juta menerusi akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya iaitu WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik syarikat Nepturis Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat terbabit mendapatkan surat setuju terima projek sama di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, di sini, antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Related posts

Leave a Comment