Tiada kes di Brunei, Thailand

SEBANYAK 689 lagi kes positif baharu Covid-19 dilaporkan di Indonesia dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 15,438.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 21 lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian bertambah kepada 1,028 orang

Pesakit yang masih dalam pengawasan virus itu kini berjumlah 33,042 orang.

Beliau meminta rakyat negara itu membudayakan gaya hidup sihat dan menjalani normal baharu bagi membendung penularan virus pandemik

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula melaporkan sehingga pukul 4 petang Rabu, 13 Mei, sebanyak 268 lagi kes baharu Covid-19 dikesan menjadikan jumlah keseluruhan 11,618 kes.

Bagi tempoh yang sama, 21 lagi kematian disahkan menjadikan jumlah kes 772. Kes pulih pula meningkat kepada 2,251 berikutan penambahan 145 kes sembuh hari ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) SINGAPURA mengesahkan 675 lagi kes positif Covid-19, menjadikan jumlah jangkitan virus itu di republik berkenaan kini 25,346 kes.

Hanya dua kes yang melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap manakala selebihnya adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Singapura setakat ini mengklasifikasikan 1,321 sebagai kes komuniti, 580 sebagai kes import, 436 kes yang melibatkan pekerja asing yang tinggal di luar asrama dan 22,334 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Pada masa ini, 3,851 kes pulih sepenuhnya.

Sebanyak 1,132 kes yang disahkan masih dirawat di hospital, 20 daripadanya di unit rawatan rapi manakala 21 telah meninggal dunia.

Kementerian itu memaklumkan bahawa 19,667 kes yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi masih diuji positif untuk Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sementara itu THAILAND mencatatkan sifar kes baharu Covid-19 dan kematian buat pertama kali sejak 9 Mac, dengan jumlah kekal 3,017 kes dan 56 kematian.

Jurucakap Centre for Covid-19 Situation Administration (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata sehingga hari ini, 2,844 pesakit telah pulih dan dibenar keluar dari hospital manakala 117 masih menerima rawatan di wad.

 “Ia satu kelegaan tetapi tidak ada sebab untuk selesa. Kita hendaklah terus mematuhi semua langkah perlu termasuk memakai pelitup separuh muka, mengamalkan kebersihan diri dan terus menjaga jarak sosial,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Thailand mencatatkan kes baharu harian dengan satu angka sejak 3 Mei, melainkan 18 kes pada 4 Mei melibatkan 18 tahanan di pusat penahanan Imigresen di wilayah selatan Songkhla.

Sementara itu, BRUNEI DARUSSALAM juga tidak mencatatkan sebarang kes baharu dan kekal 141 kes, satu kematian dan 134 sembuh.

Related posts

Leave a Comment