Dengan ‘musuh’ juga perlu berlaku adil

KUALA LUMPUR 24 Okt. –  Pembangkang bukan musuh! Itu ingatan Abdul Hadi Awang (PN-Marang) ketika menggesa kerajaan berlaku adil kepada pembangkang termasuk diberikan peruntukan sama rata.

“Berlaku adillah. Dengan musuh (juga perlu) berlaku adil. Ini kita kerajaan dengan pembangkang bukan musuh.,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas juga menyifatkan tindakan kerajaan hanya memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sebagai tidak mengikut ajaran Islam.

“Kepada pembangkang tak diberi peruntukan kepada yang sokong diberi peruntukan. Ini bukan cara diajar Allah,” katanya.

Katanya, Kerajaan Madani tidak menghayati maksud petikan ayat 77 Surah al-Qasas yang meminta umat Islam melakukan kebaikan seperti Allah memberi rezeki kepada semua insan di dunia ini.��Abdul Hadi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, membaca surah itu ketika pembentangan Belanjawan 2024.

“Dalam ayat ini, buat baik macam Allah buat baik kepada kamu, Allah beri rezeki, umur panjang kepada hambanya yang beriman dan tidak beriman, yang ikut dan lawan dia, buat maksiat.

“Inilah keadilan Allah kepada manusia, bukan macam kita hari ini, kita pilih-pilih, ini tidak betul,” katanya.

Beliau juga menyelar tindakan kerajaan yang menekan pembangkang dengan membuat tuduhan palsu termasuk menggeledah pejabat dan rumah pemimpin tertentu.

“Bertindak terhadap orang yang menentang. Kalau tentang (kerajaan), geledah pejabat, rumah dan geledah macam-macam (sehingga) jadi kes (mahkamah).

“Kalau yang kawan sebelah macam-macam DNAA (lepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah). Yang sudah dikenakan hukuman diampunkan dan dibebaskan. Mungkin DNAA sama,” katanya.

Katanya, keadilan itu bukan membabitkan sokongan pembangkang mahu pun sokongan pihak kerajaan, sebaliknya konsep itu merupakan sebahagian kebajikan yang amat dituntut dalam agama Islam.

“Keadilan melalui kehakiman ini satu hal, termasuk kebajikan itu menegak adil, adil untuk semua, ini sangat penting, konsep adil untuk semua, sedang perkara ini sudah diajar Allah dalam al-Quran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment