PN bertindak jika perundangan syariah dicabar

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Perikatan Nasional (PN) hari ini memberi amaran bahawa gabungan itu akan bertindak jika kerajaan membenarkan tindakan segelintir individu mencabar sistem perundangan Islam di negara ini.

Abdul Hadi Awang (PN-Marang) berkata, kerajaan perlu lebih peka dan tegas membela undang-undang syariah kerana keputusan tersebut bakal mengundang kemarahan umat Islam.

Beliau yang membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini berkata jika kerajaan gagal mempertahankan kekebalan undang-undang syariah, pembangkang akan mengambil alih kedudukannya.

Bagaimanapun Timbalan Pengerusi PN itu tidak menghuraikan lebih lanjut bagaimana mereka akan bertindak.

“Saya beri amaran kepada kerajaan PH oleh kerana ini menyentuh umat Islam, Allah dan Raja-raja. Saya beri peringatan kepada kerajaan supaya mengambil perhatian dalam perkara ini.

Bagaimana kami bertindak…tunggu dan lihat, keadaan yang munasabah, kalau nak bawa ke mahkamah kita pergi, nak ke mana kita pergi, Insya-Allah sehingga kita berjaya mempertahankan kedaulatan Islam,” katanya.

Presiden Pas itu mendakwa, negara ini sedang dilanda “kemungkaran sangat dahsyat” apabila ada pihak yang dianggapnya mencabar undang-undang Islam.

Menurut Abdul Hadi, PN berpendapat hukum Islam memiliki imuniti dan tak boleh dicabar, sama seperti institusi diraja.

“Apatah lagi (memang) disebut dalam perlembagaan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan berada di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu. Islam kepunyaan majoriti rakyat negara ini

Sekarang ini pandai-pandai cabar Islam, cabar mahkamah syariah. Ini satu kerja yang orang Islam tidak boleh biarkan sekali-kali,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa PN tidak sesekali akan menafikan hak orang bukan Islam.

“Ini bukan bermakna kita menafikan hak orang bukan Islam, sebab dalam Perlembagaan Persekutuan kebebasan agama lain dijamin, ini dipersetujui parti yang terlibat dalam kemerdekaan,” katanya.

Malah dalam Islam, katanya turut melarang penganutnya mengecam serta mencerca kepercayaan dan tuhan agama lain kerana jika perbuatan itu dibenarkan kelak, penganut agama lain pula akan mencela Allah.

“Bukankah dalam Perlembagaan sudah disebut kebebasan agama lain dijamin, ini dipersetujui oleh parti-parti yang terlibat selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Pas terlibat dalam kemerdekaan, UMNO , Parti Negara dan beberapa parti kerajaan sekarang. DAP dan PKR (ditubuhkan) kemudian. Kita terlibat dan sebab itu tidak menjadi masalah dan ini menjadi tanggungjawab kita,” katanya.

Related posts

Leave a Comment