“Ada jemputan melalui media antarabangsa”

SHAH ALAM:  Abdul Hadi Awang menegaskan Pas tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan walaupun ada pihak yang menyatakan terdapat ‘tujuh kebaikan’ jika parti Islam itu berbuat demikian.

Presiden Pas itu berkata, partinya tidak akan masuk ke tempat yang didakwanya kotor untuk ‘membersihkan kekotoran”.

“Untuk bersihkan, kita kena duduk di luar, macam mana kami nak ikut (Kerajaan Perpaduan),” katanya kepada media selepas merasmikan Muktamar Pas ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyenaraikan tujuh kebaikan jika Pas menyertai Kerajaan Perpaduan, termasuk UMNO akan kembali ‘dibersihkan’,

Menurut Asyraf Wajdi, tidak akan ada lagi kata nista, label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran buruk apabila UMNO dan Pas kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan penyatuan ummah.

“Banyak kebaikan sebenarnya jika Pas menyertai Kerajaan Perpaduan, antaranya tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong Pas yang ‘mengkafirkan’ atau menyesatkan mana-mana pihak terutamanya terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka.

“Tiada lagi isu ‘Islam terancam’ dan ‘Melayu terancam’ sebagaimana yang sering disebarkan dalam pelbagai media dan pentas ceramah,” kata Setiausaha Agung UMNO itu dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu ditanya sama ada Pas menerima jemputan untuk menyertai kerajaan Perpaduan, Abdul Hadi berkata : Jemputan melalui media antarabangsa ada, tidak kepada Pas”

Awal minggu lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilapor menyatakan beliau pernah menjemput Pas pada tahun lalu untuk menganggotai Kerajaan Perpaduan, namun tawarannya ketika itu ditolak parti berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan demikian ketika ditemu bual Time Magazine yang disiarkan secara dalam talian pada 11 Oktober lalu, bersama ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan parti Pas jika ia wujud pada masa akan datang.

Anwar yang juga Presiden PKR memberi gambaran pintu untuk Pas menyertai Kerajaan Perpaduan belum ditutup rapat dengan syarat Pas perlu menerima Malaysia sebagai negara berbilang agama dan setiap rakyat mempunyai tempat, meskipun Islam ialah agama Persekutuan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment