UMNO ‘dibersihkan’, DAP ‘disucikan’

KUALA LUMPUR 20 Okt. – Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan sekurang-kurangnya tujuh kebaikan jika Pas menyertai Kerajaan Perpaduan, termasuk UMNO ‘dibersihkan’, dan DAP disucikan.

Katanya, tujuh kebaikan itu akan menurunkan suhu politik negara yang memberikan manfaat kepada rakyat bagi membolehkan fokus utama kepada soal memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

“Banyak kebaikan sebenarnya jika Pas menyertai Kerajaan Perpaduan…Tiada lagi politik fitnah, politik tohmah, politik adu-domba yang merugikan dan memudaratkan,” kata Asyraf dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, tiada lagi kata nista, label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran buruk apabila UMNO dan Pas kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan penyatuan ummah.

Asyraf memberi reaksi itu berhubung kenyataan terbaru Timbalan Presiden Pas dan Setiausaha Agung Pas yang menyebut “Pas belum terima tawaran rasmi sertai Kerajaan Perpaduan” dan “Tak lama dah, takkan Pas dengan 18 kerusi boleh jadi kerajaan tapi 43 kerusi jadi pembangkang?”.

“Malah Timbalan Presiden Pas awal-awal lagi memberikan isyarat bahawa Muktamar Pas tidak akan menghalang sebarang perbahasan mengenai kemungkinan menyertai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Tujuh kebaikan yang disenaraikan Asyraf adalah:

1. Tiada lagi fatwa atau ceramah daripada pimpinan dan pendokong Pas yang meng’kafir’kan atau menyesatkan mana-mana pihak terutmanya terhadap parti yang berbeza ideologi dengan mereka.

2. Tiada lagi isu ‘ISLAM TERANCAM’ dan ‘MELAYU TERANCAM’ sebagaimana yang sering disebarkan dalam pelbagai media dan pentas ceramah.

3. DAP sekali lagi akan disucikan dengan fatwa-fatwa baharu sebagaimana ketika mereka bersama dalam gabungan untuk hadapi PRU tahun 1999, 2004 dan 2008.

4. UMNO akan kembali dibersihkan dan tiada lagi kata nista, label-label seperti ‘sesat’, ‘kafir’, ‘ahli neraka’, ‘munafik’ dan pelbagai lagi gelaran yang dikaitkan dengan binatang apabila sudah kembali menjadi rakan sebagaimana pengalaman 22 bulan dalam kerjasama Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah.

5. Tiada lagi istilah Malaysia menuju negara SEKULAR kerana bersekongkol dengan parti DAP yang dilabelkan ‘kafir’ dan sekular.

6. Tiada lagi parti dalam Kerajaan Perpaduan terutamanya yang mempunyai orang Melayu Islam seperti UMNO, AMANAH dan PKR yang akan dilabel ‘BARUA DAP’, ‘PENJILAT DAP’ atau label-label ‘kafir’, ‘toghut’ dan sebagainya apabila PAS sertai Kerajaan Perpaduan.

7. Anwar Ibrahim akan kembali dijulang PAS sebagai pemimpin Islam yang suci dan bersih sebagaimana waktu PRU ke-10, ke-11 dan ke-12 dahulu.

Related posts

Leave a Comment