Reese dapat suntikan bernilai RM9.13 juta

BUKIT MERTAJAM 8 Feb. – Hasil kutipan dana oleh One Hope Charity and Welfare akhir tahun lalu, seorang kanak-kanak pesakit Atrofi Otot Spina (SMA) berjaya mendapat suntikan Zolgensma bernilai lebih RM9 juta hari ini.

Reese Tan Rui Xin yang berusia 19 bulan, mendapatkan suntikan penawar penyakit genetik itu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pengerusi badan pertubuhan berkenaan, Chua Sui Hau, berkata kanak-kanak perempuan itu kini dilaporkan stabil dan memuaskan selepas menerima suntikan berkenaan.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu kos keseluruhan ubat genetik Zolgensma itu bernilai RM9.139,625 dari Amerika Syarikat.

Katanya, Reese dimasukkan ke wad semalam untuk menjalani pelbagai saringan kesihatan sebelum prosedur suntikan ubat genetik itu dan keputusan ujian menunjukkan keadaan Reese sesuai untuk menerima ubat dan prosedur suntikan.

“Saya berpeluang menyaksikan prosedur itu dan prosesnya memakan masa kira-kira satu jam,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak itu yang turut berada di hospital teruja apabila impian melihat anak mereka kembali sihat tercapai.

“Buat masa ini, Reese perlu berada di wad rawatan untuk proses pemerhatian oleh pakar perubatan,” katanya yang turut menjelaskan penyakit itu jarang berlaku dan kos perubatan sangat tinggi.

Dalam laporan sebelum ini, pasangan suami isteri Rachel Chung, 38, dan Jason Tan, 47, bingung memikirkan bagaimana mahu mencari dana untuk mengubati penyakit genetik anak bongsu perempuan mereka sebelum mencapai usia dua tahun.

Kesan penyakit itu, Reese tidak dapat merangkak, berdiri atau berjalan seperti kanak-kanak lain, sebaliknya hanya meniarap dan ada ketika sukar bernafas,  tidak dapat mengunyah makanan, selain terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment