Daftar dulu, jangan tolak pelajar miskin

PUTRAJAYA 17 Okt. –  Semua universiti awam di negara ini diarah supaya tidak menolak kemasukan pelajar miskin atau mereka yang tidak mampu untuk membayar yuran pendaftaran pengajian.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, arahan itu bertujuan memastikan pelajar mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

“Saya bagi arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar bagi nama (pelajar) dan kementerian atau jabatan harus selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Dewan Utama, Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen Jumaat lalu mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM16.3 bilion bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selain itu, bermula Januari 2024, yuran pendaftaran memasuki universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 dan pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat daripada mendaftar subjek pada setiap semester dengan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Anwar berkata, beliau dimaklumkan mengenai pelajar dari Ampang di Selangor dan Tambun di Perak yang menolak tawaran kemasukan ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.

“Tidak ada anak kita di mana sahaja, daripada kaum mana juga, yang miskin dan tidak mampu menolak tawaran ke universiti. (Biar) dia daftar dulu, kemudian dia lapor,” katanya.

Related posts

Leave a Comment