Modul Hadis 40 diselaras dengan Jakim

KUALA LUMPUR: Modul bagi aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM), diselaraskan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu bagi memastikan syarah atau kupasan hadisnya sesuai dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

Katanya, modul aktiviti yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) ketika ini, mengandungi semua 42 hadis dalam buku Hadis 40 Imam Nawawi.

Beliau berkata, KPM merancang untuk melaksanakan perluasan aktiviti penghayatan itu ke semua sekolah kendaliannya mulai tahun depan, yang hanya membabitkan murid beragama Islam.

Katanya, KPM sudah mengeluarkan Surat Siaran Pelaksanaan Aktiviti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di SMKA dan SABK bertarikh 4 Oktober 2023.

Justeru, semua pengetua dan guru besar SMKA dan SABK perlu melaksanakan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang disesuaikan dengan tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.

“Syarah yang dibuat bersama Jakim ini sangat penting untuk memastikan konteksnya dan pemahaman sampai kepada murid,” katanya menjawab soalan asal Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai dakwaan lima hadis digugurkan daripada modul bagi aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Fadhlina berkata, aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi berupaya mengangkat kemuliaan insan, bertepatan Teras Kedua KPM yang merangkumi tiga elemen utama penghayatan nilai, iaitu adab, akhlak dan integriti.

“Usaha ini bertujuan membentuk sahsiah dan nilai yang baik, selain memupuk semangat kasih sayang dan menerapkan kefahaman agama dalam kalangan murid Islam ke arah melahirkan generasi Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).

“Selain itu, aktiviti penghayatan ini juga menyokong elemen dalam rukun Malaysia Madani, khususnya yang berkaitan dengan hormat dan ihsan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment