KUALA LUMPUR 17 Okt. – Dewan Rakyat diminta memanggil Datuk Iskandar Dzulkarnain (PN Kuala Kangsar) berhubung dakwaan diugut untuk menyokong kerajaan atau berdepan pendakwaan kesalahan rasuah.
Gobind Singh Deo (PH-Damansara) berkata, Dewan Rakyat mempunyai kuasa mengikut Seksyen 4 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar peruntukan Seksyen 29 yang membawa kepada penghinaan Dewan.
Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau di mana ugutan itu didakwa bagi mendapatkan sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Menurut Gobind, jika dilihat peruntukan undang-undang , ia juga termasuk keadaan kepada seseorang ahli Dewan diberikan sebarang ganjaran.
Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Anwar, dia menyuarakan isu peningkatan kos sara hidup di kawasan pentadbirannya.
“Saya merujuk Seksyen 29(d), kalau diberikan sebarang penawaran kepada atau penyetuju penerimaan seorang ahli sogokan untuk mempengaruhinya, tindakan boleh diambil,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Gobind turut mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil Parlimen terhadap dakwaan itu.
“Bukankah Parlimen berkuasa meminta ahli yang membuat aduan itu datang ke hadapan, beri kepada kita maklumat, apa yang berlaku dan kemudian kalau ada pihak yang dinamakan, kita panggil ke Dewan.
“Tanya kepada mereka apa yang berlaku sebenarnya dan kalau benar-benar kita dapati aduan itu bernas, kita ambil tindakan,” katanya.
Tegasnya, tindakan perlu diambil untuk menghentikan perkara itu tanpa siapa yang dikatakan membuat ugutan.
“Dulu kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN), kita dengar masalah sama. Sekarang dalam kerajaan ini juga saya mendengar masalah sama.
“Kita patut mewujudkan satu jawatankuasa atau mekanisme, di mana kita boleh pastikan tingkah laku kita sebagai Ahli Parlimen tidak tergugat, kita bebas selepas dipilih oleh rakyat untuk laksanakan tugas kita,” katanya.
