23 pegawai kanan terlibat pertukaran, naik pangkat

KUALA LUMPUR 14 Okt. –  Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Bukit Aman berkuat kuasa semalam.

Berikutan itu, jawatan Mohd Azman sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak akan diambil alih Timbalannya, Datuk Mancha Anak Ata dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Polis (DCP) Alzafny Ahmad, berkata pelantikan Mohd Azman bagi menggantikan Datuk Seri Mat Kasim Karim yang bersara wajib, 30 September lalu.

Mohd Azman antara 23 pegawai kanan polis yang terbabit dalam pertukaran dan kenaikan pangkat diumum Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Dalam satu kenyataan, Alzafny berkata, Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus pula akan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Pertukaran turut membabitkan Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Muhammad Abdul Halim yang ditukarkan sebagai Ketua Polis Perlis yang baharu.

Selain itu, katanya Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Sapii Ahmad ditukarkan sebagai DCP Latihan, Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan, Bukit Aman.

Penolong Pengarah E1A, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Shazeli Kahar pula ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pengarah E1, Cawangan Khas, Bukit Aman.

Turut ditukarkan, Komander Unit Tindakhas Pasukan Gerakan Khas, JKDNKA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi sebagai Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Turut tersenarai dalam pertukaran adalah Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan ATIPSOM Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Fadil Marsus.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Selain itu, Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Dennis Lim Kwang Keng dilantik sebagai Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik, JSJ Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Turut ditukarkan adalah Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal sebagai Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas, Bukit Aman.

Alzafny berkata pertukaran lain membabitkan Penolong Pengarah Cawangan Khas SAC Azman Omar yang menggantikan Nik Ezanee, manakala Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC Kamarulzaman Elias dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah berkuat kuasa pada tarikh sama.

Related posts

Leave a Comment