MYAirline gantung operasi

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Selepas hampir setahun ‘terbang’, syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan tekanan kewangan menyebabkan operasi perlu digantung, sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” katanya.

Susulan itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.

“Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” menurut kenyataan itu.

Pelanggan yang berdepan sebarang masalah boleh menghubungi customercare@myairline.my untuk mendapatkan bantuan sokongan.

MYAirline diasaskan secara rasmi pada 11 Januari 2021 dengan sokongan kewangan daripada Zillion Wealth Bhd (88 peratus), Trillion Cove Holdings Bhd (10 peratus) dan Pengasas Bersama dan Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rayner Teo (dua peratus).

Lembaga Pengarah MYAirline terdiri daripada Pengasas Bersama yang juga pemegang saham terbesar, Datuk Allan Goh Hwan Hua; Sean Goh Tze Han; bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman; bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Abd Hamid Mohd Ali; Teo dan Pengarah Trillion Cove, Jothi Prakash Murugan.

Pesawat pertamanya mula diterima pada Julai 2022, Airbus A320 (9M-DAC) yang dipajak daripada Aircastle Limited dan menerima Sijil Pengendali Udara pada 27 September 2022 serta Lesen Perkhidmatan Udara pada 15 November 2022 daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Pada 25 November 2022, MYAirline melancarkan tiga laluan pertamanya, membabitkan laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu. sekali gus menandakan permulaan rasmi operasinya di Malaysia.

Related posts

Leave a Comment