Dr Suzana pangku tugas Naib Canselor UiTM

SHAH ALAM 12 Okt. – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datin Dr Suzana Sulaiman akan menjalankan tugas naib canselor universiti itu berkuatkuasa hari ini.

Pendaftar UiTM, Muhamad Nizam Noordin berkata pelantikan itu susulan persaraan penyandangnya, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor bermula hari ini.

Roziah yang berkhidmat di universiti itu selama 33 tahun memegang jawatan berkenaan sejak Ogos 2021, dan merupakan wanita pertama dilantik menjadi Naib Canselor UiTM.

Sebelum naib canselor baharu dilantik, terdapat tatacara yang akan diikuti daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula dengan pengiklanan, saringan seterusnya ke proses di peringkat Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

“Proses itu kemudian terus ke peringkat kementerian dan sekarang ia (pemilihan naib canselor) sudah berada di peringkat kementerian.

“Kita serahkan kepada kementerian, yang mana di peringkat universiti, kita sudah mengikut tatacara dan proses yang perlu dilaksanakan dan ketika ini, Profesor Datin Dr Suzana menjalankan fungsi berkenaan sehingga naib canselor baharu dilantik,” katanya pada sidang media di Dewan Agung Tuanku Canselor, di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, Suzana berkata UiTM akan mewujudkan sistem integrasi antara jabatan bertujuan mengelak kelewatan proses tuntutan bayaran balik bagi pemegang biasiswa langgar kontrak.

Menurutnya, sistem itu membabitkan tiga jabatan iaitu Bahagian Kemajuan Kerjaya, Undang-Undang dan Bendahari.

Katanya, selain itu skim potongan gaji ke atas kakitangan terbabit turut diteruskan dan sebahagian besar mereka sedang melalui proses berkenaan.

“Selain penambahbaikan proses dalaman, UiTM turut menilai semula prosedur penawaran kemudahan itu bagi penerima akan datang. Kami melihat dari segi tiga perspektif,” katanya.

Perspektif pertama, persediaan calon yang akan ditawarkan biasiswa, staf berkenaan mesti mempunyai kriteria tertentu, contoh, mereka mendapat geran atau ada pengalaman membuat penyeldikan, dan kertas cadangan.

“Kedua, kita tambah baik proses pemantauan terhadap staf berkenaan bersama penyelia mereka, supaya kita boleh memantau perkembangan dari awal hingga tamat pengajian.

“Salah satu penambahbaikan yang kita juga lihat adalah kita tidak memberi tempoh lanjutan. Sebagai contoh, kita beri empat tahun tiada pelanjutan. Jadi mereka perlu tahu, mereka perlu habiskan dalam tempoh tersebut,” katanya.

UiTM memiliki 34 cawangan di seluruh negara dengan jumlah pelajar seramai 189,000 serta 18,000 kakitangan akademik dan pentadbiran.

Foto : Dr Roziah Mohd Janor dan Dr Suzana Sulaiman (kanan)

Related posts

Leave a Comment