Israel sebenarnya negara pengganas, bukan Hamas

PUTRAJAYA 12 Okt. –  Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan negara Barat dan Amerika Syarikat (AS) yang membisu apabila Israel melakukan jenayah perang malahan memberi sokongan dengan membekalkan senjata kepada rejim itu.

Bekas perdana menteri itu berkata, lebih 70 tahun Israel dengan kejam dan bongkak mendera orang Palestin tanpa henti, dengan hampir setiap hari, mereka membunuh orang Palestin dengan alasan yang dibunuh itu adalah pengganas.

“Siapa yang tentukan orang Palestin yang dibunuh ialah pengganas? Jika mereka itu disyaki pengganas, mengapa tidak ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah?

Jika kita renung kembali, Israel yang sebenarnya sebuah negara pengganas yang berdekad lamanya melakukan keganasan ke atas orang Palestin tanpa rasa bersalah atau sebarang kekesalan,” katanya dalam video di media sosial.

Dr Mahathir, berkata Israel juga melabel Hamas sebagai pengganas tetapi tindakan Hamas adalah tindakan orang yang sudah tenggelam punca, hilang harapan untuk mendapatkan keadilan dari negara- negara besar yang mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kemanusiaan.

Tidakkah sesuatu yang dijangka bahawa Hamas dan juga mana-mana orang Palestin yang dijajah oleh Israel, didera, dibunuh dan dihina seperti binatang, bertindak sebagaimana yang kita saksikan hari ini?

“Pada waktu ini juga, kita menjadi saksi kepada tindakan Israel yang berusaha mengatasi keganasan yang mereka tuduh dilakukan oleh Hamas,” katanya.

Beliau berkata, Israel membunuh kanak-kanak dan bayi Palestin kerana mendakwa mereka akan membesar menjadi pengganas.

“Dengan alasan itu mereka terus melakukan pembunuhan ke atas bayi dan kanak-kanak Palestin,” katanya.

 

Related posts

Leave a Comment