Dewan kecoh lagi, kali ini ‘Anak Papa’

KUALA LUMPUR 12 Okt. –  Gara-gara mengeluarkan istilah ‘Anak Papa’, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) diarah keluar Dewan Rakyat untuk ‘berehat’ selepas beliau enggan menarik balik perkataan itu.

Dewan sebelum itu kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen kerajaan bangkit mempertikai perkataan disebut Awang.

Istilah berkenaan disebut Awang ketika Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit meminta penjelasan apabila Dewan Rakyat mendahulukan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) yang dibawa Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), berbanding usul yang dibawa beliau sehari lebih awal.

Shahidan mendakwa usulnya dihantar pada Selasa sedangkan Dr Mohammed Taufiq yang juga anak Speaker Johari Abdul dihantar pada Rabu.

Selain Mohamaed Taufiq, beberapa Ahli Parlimen seperti RSN Rayer (PH-Jelutong), Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) P Prabakaran (PH-Batu), Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bangkit meminta Awang menarik balik perkataan ‘Anak Papa’’ itu.

Bagaimanapun situasi semakin kecoh apabila Awang bukan hanya bertegas tidak mempedulikan desakan itu, malah turut membangkitkan soal ‘conflict of interest’ (pertembungan kepentingan) dalam keputusan dibuat Dewan Rakyat itu.

Meskipun tidak menjelaskan kenyataan itu, apa disebut Ahli Parlimen Pendang itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hubungan kekeluargaan antara Speaker Dewan Rakyat, selaku bapa kepada Mohammed Taufiq dengan keputusan penerimaan usul dibawa Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong yang mempengerusikan mesyuarat kemudian menjelaskan bahawa keputusan penerimaan usul dibawa Mohammed Tuafiq itu dibuat Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor dan bukannya Johari.

Timbalan Speaker turut meminta Awang menarik balik perkataan Anak Papa dan ‘Conflict of Interest’ tetapi Ahli Parlimen Pendang itu bertegas tiada kesalahan dalam apa yang disebutnya itu.

Perkara itu disokong Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin yang menyatakan bahawa persepsi pertembungan kepentingan itu suatu yang jelas mengambil kira hubungan yang berlaku antara Johari dan Mohammed Taufiq.

Berikutan kekecohan yang berlarutan dan menyedari Awang tidak akan menarik balik, Timbalan Speaker memutuskan supaya Ahli Parlimen Pendang berehat seketika dan dibenar kembali pada sesi sebelah petang.

Related posts

Leave a Comment