Keluarga Nurul Ain Haron selamat

SEPANG 12 Okt. – Wanita warga Malaysia, Nurul Ain Haron yang kini berada dalam wilayah konflik, memaklumkan beliau dan keluarganya selamat dalam serangan terbaru tentera Israel di Gaza, Palestin.

Bagaimanapun menerusi perkongsian video di Facebook peribadinya, beliau berkata penduduk Gaza kini terputus bekalan air dan elektrik, dan terpaksa mencari sumber lain demi kelangsungan hidup mereka di wilayah terkepung itu.

Katanya, keluarga beliau kini terpaksa mengambil air dari tangki yang terbiar dan menggunakan bateri kereta sebagai sumber tenaga untuk mendapatkan liputan internet.

Dalam perkongsian melalui Facebooknya, Nurul Ain mengakui tidak cukup tidur kerana serangan bom bertubi-tubi sejak malam sebelumnya.

“Kalau boleh nampak sebelah sana ada asap hitam tu. (tempat) itu baru sekejap kena bom,” katanya.

Beliau berkata, bagi penduduk yang tidak ada rumah atau rumah mereka musnah akibat dibom, ada di antara mereka menumpang mana-mana binaan kosong bersebelahan rumah keluarga beliau.

“Ada yang duduk dekat kawasan sini, sebahagian yang berlindung di bangunan sekolah dan ada yang melarikan diri ke rumah saudara mara ataupun kawan-kawan,” katanya.

Nurul Ain juga merayu sokongan orang ramai untuk terus menghantar bantuan dan mendoakan keselamatan penduduk di Gaza.

Related posts

Leave a Comment