Anak Papa: Johari tampil beri penjelasan

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, menolak tanggapan bahawa beliau tidak berlaku adil dalam membuat keputusan berhubung usul dikemukakan oleh Ahli Parlimen.

Beliau tampil memberi penjelasan ketika mempengerusikan mesyuarat sesi petang ini susulan kecoh isu ‘anak papa’ pada mesyuarat pagi ini.

Johari yang kecewa dengan tanggapan itu berkata, beliau dipilih di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memegang jawatan itu dan hanya menjalankan tugasnya menyelesaikan masalah rakyat, bukan untuk bermain politik.

Menjelaskan situasi yang berlaku, Johari berkata, usul dikemukakan Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) kelmarin dan semalam, bukan berkaitan isu padi yang disorok, sebaliknya mengenai penyalahgunaan kuasa kakitangan awam kanan dalam kempen politik serta isu kekurangan tenaga kerja tempatan dalam bidang kejururawatan serta sektor gunting rambut.

“Saya kita apa yang Arau bangkitkan bahawa saya tidak berlaku adil, tidak memberikan peluang berucap, salah. Saya menerima cacian cukup banyak daripada media yang saya tidak berlaku adil, seolah-olah saya memberikan laluan kepada Sungai Petani (Dr Mohammed Taufiq Johari) dan lebih teruk lagi apabila Pendang (Datuk Awang Hashim) kata “anak papa“.

Saya harap, tolonglah. Jika anda mahu bermain politik, mainlah dalam kalangan anda. Jangan babitkan Speaker. Anda mungkin ada pandangan anda, tapi saya ada cara saya,” katanya.

Isu ‘anak papa’ menggamatkan sidang Dewan Rakyat pagi ini selepas pihak pembangkang mendakwa wujud konflik kepentingan dan unsur berat sebelah dalam membuat keputusan terhadap usul yang dihantar kepada Dewan.

Ia bermula selepas Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yeng, memaklumkan usul dikemukakan Dr Mohammed Taufiq semalam, mengenai isu penyorokan 180 tan beras oleh sebuah kilang di Kedah, diterima untuk dirunding di Kamar Khas pada pukul 2.30 petang ini.

Keputusan itu dibuat atas pertimbangan Timbalan Yang Dipertua,  Ramli Mohd Nor, selepas diarahkan Johari.

Pemakluman Alice itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati Shahidan, yang mempersoalkan mengapa usul dikemukakan beliau pada Selasa lalu belum mendapat keputusan, sedangkan usul Mohammed Taufiq yang dikemukakan pada Rabu sudah diputuskan.

Pada masa sama Awang mencelah dengan menyebut “anak papa” yang merujuk kepada Mohammed Taufiq yang juga anak kepada Johari.

Johari juga mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak bergaduh dengan Speaker kerana ia tidak mendatangkan apa apa-apa manfaat.

“Kalau nak saya ikut buku, boleh tapi situasi antara saya dan Ahli Parlimen teganglah. Adakah anda mahu begitu? Saya tidak mahu buat begitu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment