125,000 penumpang MYAirline terjejas

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Seramai 125,000 penumpang terjejas selepas syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline menggantung operasi mulai pagi ini, kata UMenteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata langkah sangat tidak bertanggungjawab oleh syarikat itu sudah mengakibatkan kerugian kira-kira RM20 juta yang ditanggung oleh penumpang, berdasarkan jualan tiket penerbangan syarikat terbabit.

Katanya, nilai itu membabitkan hasil jualan tiket penumpang yang membuat tempahan penerbangan MYAirline sehingga Mac depan.

“MYAirline memberi jaminan untuk menunaikan kewajipan mereka kepada pengguna terjejss dan membuat bayaran balik kepada penumpang,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini

Beliau berkata, MYAirline juga diarahkan menyediakan kaedah jelas untuk membuat pembayaran balik tiket penerbangan atas kerugian yang terpaksa ditanggung pelanggannya.

Katanya, tindakan syarikat penerbangan menghentikan operasi itu juga menjejaskan nama baik negara memandangkan ada penumpang bukan warganegara yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Loke berkata, syarikat penerbangan yang bertanggungjawab seharusnya tampil mengambil langkah yang wajar sekiranya berdepan sebarang masalah.

“Sepatutnya dia datang berbincang dengan kita bukan ambil langkah tidak bertanggungjawab seperti ini. Tidak maklum kepada MAVCOM dan pihak berkuasa berkenaan pelan mitigasi, tiba-tiba dia henti operasi,” katanya.

Beliau juga sudah meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menubuhkan satu pasukan petugas khas dalam perkara ini dan berhubung dengan pihak Bank Negara supaya mencari kaedah bagaimana kita pastikan semua penumpang yang terjejas ini mendapat bayaran balik.

“Kita faham kebanyakannya menggunakan kad kredit membeli tiket kapal terbang. Jadi, kita perlu kerjasama daripada Bank Negara untuk melihat mekanisme supaya mana-mana penumpang yang menggunakan kad kredit, dia akan terus dapat ‘refund’,” katanya.

Katanya, bagi yang tidak membeli tiket penerbangan menggunakan kad kredit, kementerian mahu bayaran balik dijelaskan secepat mungkin.

Memandangkan MYAirline sudah memberhentikan operasinya secara mengejut, maka Anthony berkata, MAVCOM akan mengadakan mesyuarat tergempar untuk menentukan status lesen perkhidmatan udara syarikat itu, yang sah sehingga 14 November tahun ini.

“Oleh kerana mereka menggantung operasi secara tergesa-gesa, ramai penumpang tidak mengetahui dan mereka sudah pergi ke lapangan terbang. Sudah tentu, ini keadaan sangat tidak baik dan ramai tidak tahu, sekaligus beri kesan buruk kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Loke mendakwa sebaik syarikat itu memutuskan menghentikan operasinya awal pagi tadi, mereka terus ‘menghilangkan’ diri.

“Dia henti 6 pagi (tadi), bukan saja kapal tak terbang, malah kakitangan mereka tidak berada di lapangan terbang untuk memberikan sebarang maklumat. Tak ada wakil MYAirline di lapangan terbang. Ini satu tindakan amat tak bertanggungjawab,” katanya menuntut MYAirline membuat permohonan maaf kepada penumpang..

Related posts

Leave a Comment