Siapa MP UMNO sertai Anwar?

GARA-GARA tular, ramai yang tersenarai terpaksa ‘melayani’ senarai yang menyenaraikan mereka sebagai anggota Parlimen UMNO yang bakal memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tidak pasti siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan senarai itu sedangkan semasa sidang akhbar baru-baru ini, Anwar tidak menamakan termasuk jumlah siapa yang menyokongnya.

Menurut senarai yang dipetik dari portal The Coverage, nama Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan mantan Perdana Menteri Najib Razak juga tersenarai.

Berikut antara pemimpin yang menafikan

Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh 

“Saya menafikan dakwaan satu portal yang meletakkan nama saya sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN yang menyokong Datuk Seri Anwar. Saya tidak pernah dihubungi dan tidak pernah membuat sebarang keputusan dalam menyokong Datuk Seri Anwar,”.

Ahli Parlimen Padang Terap, Mahadzir Khalid

“Saya, Mahdzir Bin Khalid, Ahli Parlimen Padang Terap dan Naib Presiden UMNO, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian,”.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Rahman

“Anwar harus membuktikan kenyataannya di Dewan, bukan di luar. Dalam Dewan, beliau perlu buktikan beliau mempunyai sokongan lebih daripada PN. Anwar ini sebenarnya terkenal dengan sandiwara, dulu 16 September beliau mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal,”

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar

“Terima kasih lah ingat pada saya tetapi saya tetap bersama keputusan parti. Nasib baik saya tidak ada darah tinggi, kalau tidak mahu saya pengsan. Bincang apa pun tidak, tiba-tiba nama saya ada,”.

Ahli Parlimen Parit, Nizar Zakaria

“Asal bulan September sahaja dia cakap ada majoriti, dulu pun begitu. Bagi saya, saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan saya menyokong Anwar. Saya teguh bersama suara parti. Ini semua salah satu cara Anwar untuk mempengaruhi pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,”.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin

“Saya tidak tahu pasal hal ini dan saya hanya mahu tumpukan pada kemenangan PRN Sabah,”.

Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor

“Ini hanyalah angan-angan Anwar dan berharap agar tidak ada pihak yang percaya dengan dakwaannya. Saya tetap bersama UMNO, dulu kini selamanya dalam perjuangan sebuah bangsa. Kita dalam  UMNO juga telah putuskan ‘no Tun Mahathir, no Anwar and no DAP’. Jadi hentikanlah spekulasi ini,”

Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris

“Saya nafikan perkara itu, apa yang tular itu tidak betul malah saya berpandangan usaha membentuk kerajaan baharu oleh Anwar dalam situasi semasa adalah tidak patut kerana ia memberi risiko kepada keadaan ekonomi negara selain pandemik wabak COVID-19 juga belum berakhir,”

Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman

“Tidak betul.. sokong Anwar bermakna sokong DAP… mereka bercakap bohong sedangkan isu ini saya tidak tahu langsung, saya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak… pembohongan dari pengikut DSAI (Anwar),”

Related posts

Leave a Comment