Tingkat kefahaman pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

IPOH 11 Okt. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah umat Islam wajib berganding bahu memastikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dilindungi, dipelihara dan dihayati dalam mendepani ancaman ke atas pegangan itu.

Titah baginda, ancaman ke atas ASWJ dilakukan secara terang oleh musuh Islam di samping berselindung melalui gerakan batiniah tertentu serta tindak-tanduk individu yang mempamerkan diri sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya.

Namun titah Sultan Nazrin, pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

Justeru, ummah perlu dilengkapkan dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

“Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin,” titah baginda ketika perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis yang membincangkan topik “Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai Firqah Najiah” itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar; dan Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Majlis sama turut menyaksikan Sultan Nazrin berkenan melancarkan dua buku karya tulisan Wan Zahidi, yang berjudul ‘Jaringan Islam Liberal dan Agenda Pemurtadan Ummah’ dan buku ‘Mengenal Kesesatan Syiah’.

Titah Sultan Nazrin lagi, pegangan ASWJ yang menjadi pegangan utama umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MFK) Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, tidak dengan mudah mengkafirkan sesama Muslim.

“Di Malaysia, MFK membuat ketetapan bahawa umat Islam negara ini dikehendaki mengikut ajaran Islam berpaksikan ASWJ daripada segi akidah, syariah, dan akhlak; mentafsirkan hukum-hakam Islam berdasarkan sumber perundangan utama iaitu al-Quran, hadis, ijmak, dan qiyas; dan tidak dengan mudah mengkufurkan sesama Muslim.

“Akidah ASWJ disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya. Pegangan ini merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu,” titah baginda.

Menurut baginda lagi, sepanjang sejarah manhaj ASWJ pendekatannya yang bersifat pertengahan dan seimbang, serta tidak bersifat keterlaluan atau ekstrem dengan menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal.

“ASWJ berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah SWT yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian.

Dalam amalan ASWJ akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran malah takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, dan bukannya membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik,” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan melancarkan buku ‘ Mengenal Kesesatan Syiah’ dan ‘Jaringan Islam Liberal dan Agenda Pemurtadan Ummah’ karya Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Baginda turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Mufti Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir bertajuk ‘Memperkasakan Kepimpinan Keagamaan Untuk Menangani Cabaran Masakini: Pengalaman Singapura’.

Related posts

Leave a Comment