Kerajaan Perpaduan masih kukuh

KUALA LUMPUR 5 Mei – Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim masih memiliki sokongan kukuh daripada 148 Ahli Parlimen, kata Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Justeru beliau menafikan dakwaan beberapa pemimpin pembangkang yang memberi bayangan kononnya Kerajaan Perpaduan kini tergugat dengan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar semakin berkurangan.

Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO, menyifatkan tindakan pembangkang menyebut angka tertentu bagi memberi bayangan mengenai gerakan menjatuhkan kerajaan, adalah bermotifkan rasa cemburu selepas gagal berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Alhamdulillah, 148 Ahli Parlimen yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan masih lagi kekal kukuh.

“Yang paling penting ialah medan untuk berbincang dan perundingan (antara parti dalam Kerajaan Perpaduan) sentiasa berjalan, bukan setiap bulan tapi setiap minggu.

“Saya sebagai ketua sekretariat sentiasa memastikan komunikasi berjalan. Contohnya untuk Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, kita adakan banyak siri mesyuarat dan bukan ‘one man show’ atau satu, dua parti mendominasi yang lain.

“Biasalah, orang yang tak senang dengan kekuatan dan kekukuhan yang kita ada ini ialah mereka yang cemburu kerana tak dapat membentuk kerajaan di peringkat awal,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Beliau  mengulas mengenai dakwaan beberapa pihak Kerajaan Perpaduan kini tergugat dan semakin hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Ia susulan tindakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu , Dr Muhammad Faiz Na’aman, yang memberi bayangan mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan, apabila memuat naik angka 126 di Facebook miliknya.

Hari ini, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan rundingan kerusi di enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Asyraf memaklumkan ia masih berjalan dengan positif.

Tegasnya, pertindihan kerusi yang dituntut beberapa parti gabungan Kerajaan Perpaduan dalam rundingan itu bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya ia sudah dijangka memandangkan Barisan Nasional (BN) memang menentang Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment