Kematian kedua selesema burung di Kemboja

PHNOM PENH: Seorang lelaki berusia 50 tahun meninggal dunia akibat selesema burung, kematian kedua akibat virus berkenaan tahun ini dan kes selesema burung ke-58 direkodkan sejak virus itu melanda Kemboja dua dekad lalu.

Pada Februari lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia sebelas tahun meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Menurut Kementerian Kesihatan, ujian mengesahkan lelaki itu berasal dari wilayah timur Svay Rieng bersempadan dengan Vietnam dan positif virus selesema burung H5N1 sejak 7 Oktober lalu.

Punca jangkitan sedang diteliti dan pihak berkuasa sedang memeriksa mana-mana kes yang disyaki atau orang yang mungkin pernah berhubung dengan mangsa.

Kementerian itu berkata, kira-kira 50 ekor ayam, sebahagiannya milik lelaki itu dan sebahagian lagi milik jirannya, mati baru-baru ini di mana ayam-ayam yang mati itu dikongsi bersama penduduk kampung untuk dimakan.

Penduduk kampung digesa supaya berwaspada terhadap H5N1, yang masih mengancam kesihatan orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga selepas selesema burung dikesan pada mamalia, namun menegaskan bahawa risiko kepada manusia adalah rendah.

Penyakit itu biasanya merebak dari burung ke manusia melalui sentuhan langsung.

Related posts

Leave a Comment