KUALA LUMPUR 9 Okt. – Hanya 54 daripada 222 Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan kesihatan setakat 2 Oktober lalu, satu jumlah yang terlalu kecil, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Justeru beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen yang belum menjalani pemeriksaan kesihatan agar melaksanakannya dengan segera, iaitu sebelum tarikh akhir untuk pemeriksaan kesihatan ialah pada 31 Oktober ini.
“Yang Berhormat boleh menghubungi doktor kesihatan Parlimen Malaysia berkenaan maklumat terperinci mengenai pemeriksaan kesihatan ini,” katanya dalam pemasyuran Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum memulakan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Parlimen, di sini hari ini.
Johari berkata, Ahli Parlimen juga boleh melakukan pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan, dan rekod itu mesti diserahkan kepada Pegawai Kesihatan Parlimen bagi tujuan dokumentasi.
“Saya telah maklumkan, Yang Berhormat boleh melakukan pemeriksaan (kesihatan) di sini (Parlimen) ataupun di mana-mana juga asalkan rekod itu dibawa ke sini.
“Sekiranya dah buat pemeriksaan di fasiliti kerajaan atau swasta, bawa rekod itu untuk disimpan di Parlimen supaya (kalau) apa-apa terjadi saya dapat bertanggungjawab untuk selamatkan nyawa Yang Berhormat,” katanya.
September lepas, Johari dilapor berkata, semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat terhadap semua Ahli Parlimen demi memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan baik.
