Elak politik dendam, fokus sejahterakan rakyat

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu supaya tidak mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat utama untuk memajukan negeri.

Baginda sebaliknya menggesa mereka melaksanakan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan penuh tanggungjawab dan memberi fokus kepada agenda membangunkan negeri dan mensejahterakan rakyat.

“Jangan berbalah dan mengamalkan politik dendam yang akhirnya menyimpang daripada matlamat utama untuk memajukan negeri.

“Kewajipan yang diberi perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan akauntabiliti serta mengutamakan kepentingan negeri tanpa ada agenda kepentingan mana-mana parti politik ataupun peribadi.

Perancangan dan pelaksanaan dasar perlu disegerakan agar rakyat negeri ini terus terbela kehidupannya dalam suasana masyarakat yang harmoni dan selamat,” titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Dewan Undangan Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Baginda mahu wakil rakyat sentiasa peka dengan hasrat dan pandangan disuarakan rakyat menerusi pelbagai ruang dan platform.

Titah baginda, mereka yang sentiasa diperhati dan dinilai oleh rakyat perlu berbahas dan berhujah secara rasional dan intelektual atas perkara-perkara yang boleh membawa kebaikan dan manfaat bersama.

“Beta juga ingin mengingatkan ahli-ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan dan semua agensi kerajaan serta rakyat yang melaksanakan kewajipan masing-masing pada PRN Ke-15, Ogos lalu.

Baginda mahu suasana muhibah yang wujud terus dipelihara supaya Negeri Sembilan bertambah maju dan kekal menjadi kebanggaan generasi akan datang.

Titah baginda, negara dan negeri ini sudah melalui 15 kali proses pilihan raya secara demokrasi dan dapat melihat perubahan besar dalam landskap politik serta corak pentadbiran kerajaan.

Baginda menyambut baik permuafakatan yang tercapai dalam kalangan pimpinan parti untuk membentuk kerajaan yang stabil dan utuh.

“Dengan demikian, kerajaan Beta boleh menumpukan daya usaha untuk memperkuatkan tekad bagi membangunkan kemajuan negeri dan menjana pertumbuhan ekonomi yang akan menjamin kesejahteraan rakyat,” titah baginda

Related posts

Leave a Comment