WHO pantau kehadiran Mu

GENEVA 1 Sept. – Selepas Alpha dan Delta yang menular begitu pantas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini memantau satu lagi varian baharu koronavirus yang dikenali sebagai Mu, yang kali pertama dikesan di Colombia pada Januari lalu.

Menurut WHO, varian Mu, dikenali secara saintifik sebagai B.1.621, diambil kira sebagai varian yang perlu diberi perhatian atau “variant of interest” (VOI).

Dalam buletin buletin pandemik mingguannya, WHO menyatakan varian itu mempunyai mutasi yang menunjukkan risiko ketahanan terhadap vaksin dan menekankan bahawa kajian lanjut diperlukan untuk memahaminya dengan lebih baik.

Menurut buletin itu, Mu mempunyai tata susun mutasi yang menunjukkan sifat potensi bebas imun.

Terdapat keprihatian meluas berhubung kemunculan mutasi virus baharu ketika kadar jangkitan melonjak kembali di peringkat global, dengan varian Delta yang amat cepat menular terutama dalam kalangan individu belum divaksin – dan di rantau di mana langkah-langkah antivirus dilonggarkan.

Semua virus, termasuk SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19, berubah dari masa ke semasa dan kebanyakan mutasi mempunyai sedikit kesan atau langsung tidak mempengaruhi sifat virus.

Namun, sesetengah mutasi boleh menjejas sifat virus dan mempengaruhi betapa mudah ia menular, sejauh mana mudarat penyakit yang dibawanya serta ketahanan terhadap vaksin, ubat dan langkah pencegahan lain.

Selain Mu, WHO kini mengenal pasti empat varian Covid-19 yang perlu diberi perhatian termasuk Alpha yang menular di 193 negara dan Delta yang merebak di 170 negara.

Mu turut dilaporkan di negara-negara Amerika Selatan lain dan di Eropah. Penularannya di peringkat sejagat merosot ke bawah 0.1 peratus dalam kes yang mengikut urutan. Di Colombia, bagaimanapun, ia berada pada 39 peratus. 

Related posts

Leave a Comment