SEREMBAN 9 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, daripada Perikatan Nasional (Bersatu) dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, mengumumkan demikian dalam perutusan pada Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima notis daripada Pengerusi PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menerusi surat kepada Setiausaha DUN bertarikh 25 September lalu, menyatakan Ridzuan sebagai Ketua Pembangkang DUN Negeri Sembilan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, Ridzuan menang di kerusi DUN Gemas dengan majoriti 3,120 undi.
DUN Gemas adalah satu daripada lima kerusi DUN yang dimenangi PN di negeri ini.
Baki 31 lagi kerusi DUN dimenangi gabungan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
