Pencapaian lebih baik berbanding PRU 15 – Muhyiddin

KUALA LUMPUR 8 Okt. –  Perikatan Nasional (PN) menunjukkan pencapaian yang lebih baik Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 1,115 undi.

Pengerusi PN,  Muhyiddin Yassin berkata, BN pula walaupun menang tetapi majoriti yang diperoleh merosot daripada 4,048 dalam PRU 15 kepada 2,949 dalam PRK yang berlangsung semalam.

“Keputusan PRK ini juga menunjukkan BN gagal menambah sokongan walaupun parti itu telah bergabung dengan PH (Pakatan Harapan) dan seluruh jentera serta sumber kerajaan dikerah secara terang-terangan untuk membantu kempen BN,” katanya.

Melalui hantaran di Facebooknya, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bagaimanapun menghormati pilihan yang telah dibuat oleh pengundi-pengundi di DUN Pelangai.

BN menerusi calonnya, Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan PN yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Pada PRU 15, penyandang kerusi itu, Allahyarham Johari Harun menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon PH Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

Dalam pada itu, Muhyiddin percaya seperti mana trend dalam Pilihan Raya Negeri dan siri PRK  sebelum ini, tidak berlaku pemindahan undi (vote transferability) yang ketara antara PH dan BN.

“Sebaliknya, yang berlaku ialah peralihan sokongan kepada PN, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PN yang telah bertungkus-lumus berkempen dan juga kepada para pengundi di DUN Pelangai yang telah mengundi calon PN.

Related posts

Leave a Comment