Hasil kesepaduan Kerajaan Perpaduan- Anwar

PUTRAJAYA 8 Okt. –   Anwar Ibrahim, menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menunjukkan hasil kesepaduan rakan dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Perdana Menteri berkata, ia juga meniup semangat kepada Kerajaan Perpaduan untuk terus merancakkan agenda pembangunan negara, demi kesejahteraan rakyat berlandaskan kerangka ekonomi Madani.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Anwar juga menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kesinambungan kecemerlangan Kerajaan Perpaduan mendobrak (menggempur) naratif fitnah dan perkauman sempit.

Semalam, BN menerusi calonnya, Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya 47 undi.

Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 undi berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Johari Harun.

Anwar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi yang terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah kepada Datuk Amizar Abu Adam yang memenangi PRK Dewan Undangan DUN Pelangai. Sekalung penghargaan juga kepada barisan jentera yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

PRK berkenaan diadakan selepas kerusi kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Ogos lalu.

Related posts

Leave a Comment